Shatter

by

Secara semulajadi, naluri kemanusiaan memberi keupayaan untuk membezakan antara nilai murni dengan nilai jahat. Walaupun tidak semua manusia mampu berfikir secara waras tetapi kewujudan undang-undang dan perlembagaan yang dicipta hasil sepakat para bijaksana telah menjadikan negara lebih teratur. Tanpa undang-undang, negara akan kucar kacir. Tanpa perlembagaan yang bagus, ramai manusia akan berani keluar dari kepompong moral dan bertindak mengikut hawa nafsu kerana manusia itu sendiri terdiri daripada nafsu.

Manusia terdiri daripada nafsu secara umumnya. Adakah ini kenyataan yang buruk?

Tidak. Jika seorang yang alim menjauhi segala kejahatan dunia demi keinginannya berjumpa tuhannya dalam keadaan diredhai-Nya dan keinginannya akan balasan syurga diakhirat, tidakkah itu juga 'nafsu'? Dengan kata lain, keinginan baik seseorang juga dipandu oleh nafsu; nafsu yang baik. Betapa kuatnya pengaruh agama dalam menentukan arah hidup seseorang.

Apa akan jadi jika kita tarik keluar lapisan agama dalam kehidupan manusia? Adakah dunia akan lebih huru-hara? Ya dan tidak.

Tidak kerana manusia yang tulen tidak perlukan pengaruh keagamaan untuk menunjukkan bahawa dirinya merupakan insan yang baik. Bagi sesetengah manusia, atheis contohnya, pelakuan dan akhlak yang baik dilakukan kerana secara fitriahnya, orang yang baik tidak memerlukan janji akan balasan akhirat untuk mewajarkan perbuatan mereka. Mereka berlakuan baik kerana mereka percaya kepada kebaikan itu sendiri.

Ya kerana agama sama sahaja fungsinya seperti undang-undang dan perlembagaan. Agama yang baik mestilah efektif dalam mengawal tingkah laku penganutnya daripada melakukan kemungkaran. Walau bagaimanapun, agama juga mempunyai kelemahan yang sama seperti sistem perundangan dan kehakiman; jika dikepalai oleh ektremis dan hipokrit maka tidak berkesanlah agama tersebut.

Kita selalu dengar frasa " Matlamat tidak menghalalkan cara" sejak berzaman dulu. Ironinya, frasa ini dibisikkan oleh golongan yang menindas, sambil memakai topeng keadilan, kepada golongan yang ditindas tidak kira majoriti atau minoriti bagi mengelakkan daripada berlaku pertelingkahan. Mereka melelong nama keamanan demi kepentingan mereka. Bagi mereka, nyawa mereka lebih berharga. Bagi mereka, golongan yang ditindas itu lebih baik diam dan menurut sahaja kerana kononnya jika mereka melalak, orang-orang luar akan turut sama menindas mereka. Lebih baik mereka berkorban mengenyangkan bangsa sendiri, justifikasi mereka.

Namun, cuma sedikit daripada mereka yang sedar bahawa penindasan oleh golongan yang mengkhianati mandat ini seperti berada di kawasan gunung berapi yang tunggu masa saja untuk meletus.